Islamic Widget

KISAH PILU HATI SEORANG BAPA : Jauh di mata, dekat di hati...

Adaptasi dari Rencana Akhbar KOSMO!

Antara kehilangan, pertemuan dan pemergian anak tersayang. Itulah peristiwa yang diratapi dua bapa, Mohd Nashar Mat Hussain dan Jazimin Abd. Jalil. Wartawan, NOOR HASLIZA NUSI mengupas kedukaan mereka.



KETIKA seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Bapa dengan penuh keriangan dan keterujaan pada 15 Jun lalu, ada segelintir golongan bapa yang meraikannya dalam suasana sederhana.

Bagi bapa yang tidak pernah mengalami kehilangan anak, sambutan Hari Bapa cukup diungkap dengan sebaris ucapan penghargaan atau menerima hadiah sebagai tanda ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada anak-anak tersayang.

Kemeriahan itu hakikatnya menjadi hasrat dua bapa, Mohd Nashar Mat Hussain dan Jazimin Abd. Jalil untuk meraikannya bersama kesemua anak-anak? Namun, itu adalah sesuatu yang mustahil buat mereka.

Ini kerana Jazimin telahpun menerima takdirnya iaitu kematian anak comelnya, Nurin yang dibunuh kejam oleh individu yang tidak berhati perut.

Mohd Nashar pula masih berikhtiar mencari Sharlinie yang hilang dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

Kosmo! mengupas kembali karakter si anak kecil itu ketika kali terakhir berada di sisi bapa-bapa mereka.

Ditatang bagai minyak yang penuh dan dibelai dengan penuh kasih, tiba-tiba anak kecil ini hilang dari dakapan sang ayah, tanpa khabar berita.

Hati insan mana yang tidak terkilan kehilangan anak yang sekian lama membesar di hadapan mata sendiri. Tangisan kecil, gelak tawa dan gembira si anak, sentiasa dijadikan pengubat rindu saat terkenang kembali waktu bersama.

Penantian suatu penyeksaan...Kehilangan Sharlinie Mohd Nashar hanya tinggal lima hari lagi untuk genap setengah tahun. Apa yang peritnya ialah tiada khabar berita tentang penemuannya.

Dalam kesedihan itu, Mohd Nashar tetap mengumpul semangat tatkala diajukan soalan tentang Sharlinie.

UNTUK melepaskan rindu, baju-t kepunyaan Sharlinie ditatap pada setiap hari.


Bercerita mengenai pertama kali memberikan nama Sharlinie membuatkan Mohd Nashar ketawa kecil saat terkenang semula detik indah bergelar bapa kepada dua cahaya mata ketika itu.

"Masih terngiang lagi di ingatan saya sewaktu Sharlinie dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur, pada 30 Januari 2003, pukul 7.58 malam. Ketika itu, ibunya dimasukkan ke hospital sehari lebih awal memandangkan dia sudah terasa sakit untuk melahirkan.

"Masih terngiang-ngiang di fikiran saya sewaktu Sharlinie dilahirkan. Bayi sudah keluar dari rahim tetapi selaput uri tertinggal di dalam menyebabkan ibunya terpaksa ditahan di wad sehari lagi.

"Sehingga hari kedua kelahirannya, Sharlinie tidak sempat diberi susu badan kerana ibunya ditahan di wad," ujar Mohd Nashar sambil bola matanya menjeling ke arah isterinya yang duduk di sebelahnya.

"Tentang pemilihan nama Sharlinie, ia tidak pernah terlintas di fikiran kami sepanjang tempoh kehamilan. Sewaktu hendak mendaftar surat beranak, barulah nama Sharlinie tiba-tiba terlintas di fikiran," katanya lagi.

Mempunyai berat 13 kilogram sebelum kehilangannya, Mohd Nashar berkata, Sharlinie gemar makanan berkuah atau bersup dan mi segera.

"Dia suka mi segera Maggi dan bihun sup. Sehingga kini, saya sentiasa terkenang saat Sharlinie menikmati hidangan yang digemarinya itu.

"Lebih terasa syahdu apabila melihat telefon bimbit mainan yang dijual di kedai runcit. Ini kerana dia asyik menyuruh saya membelinya setiap kali pergi ke kedai," kenangnya pilu.

Katanya, Sharlinie seolah-oleh memahami kesempitan kewangan mereka sekeluarga. Melihat raut wajahnya dengan percakapan yang sesekali tersekat-sekat, Mohd Nashar begitu merindui anaknya dan berharap anaknya itu ditemui dalam masa terdekat ini.

APA yang membantu mententeramkan jiwanya ialah menatap risalah kehilangan Sharlinie dan barangan miliknya.


Apatah lagi mengenangkan saat mereka bersama suatu ketika dahulu. Panggilan 'abah' dan 'ma' oleh Sharlinie sentiasa bermain di telinga mereka sehingga hari ini.

"Paling tidak dapat dilupakan apabila dia selalu menyanyi sambil berdiri di atas kerusi bersaiz kecil dan menjadikan tombol pintu rumah sebagai mikrofon.

"Lagu Aku Bukan Pencinta Wanita, nyanyian Irwansyah adalah lagu kegemarannya dan bait-bait lirik lagu itu sentiasa dilagukannya dengan lancar.

"Bayangkan, kanak-kanak seusia itu sudah pandai menyanyi dengan tutur kata yang lancar tanpa ada sesiapa yang mengajarnya. Apabila asyik sangat menyanyi, ibunya akan menegur Sharlinie supaya membaca buku. Dia tidak pernah ingkar setiap nasihat atau teguran yang dilemparkan," tambah Mohd Nashar.

Mengulas bakat lain Sharlinie, katanya, ketika berusia tiga tahun, dia sudah pandai menunjuk bakat dalam seni lukisan dan penulisan.

Sharlinie selalu menyuruh bapa dan ibunya membeli buku nota kecil atau buku 555. Dia akan melukis mengikut kreativiti dan pemahaman seorang kanak-kanak di helaian buku tersebut.

Bagaimana pula dengan sikap anaknya itu. Mohd Nashar berkata: "Sharlinie begitu payah untuk makan ubat kecuali saya yang memberikan kepadanya."

Tambahnya: "Sharlinie seorang kanak-kanak yang tidak boleh ditegur atau dimarahi. Apabila dimarahi, mulalah dia tidak mahu melakukan segala kerja yang disuruh.

"Sikapnya yang pandai merajuk dan tidak boleh diusik oleh kakaknya, membuatkan dirinya selalu ditegur," jelas Mohd Nashar.

Sebelum kehilangan Sharlinie, seluruh rakyat Malaysia terlebih dahulu berkongsi kesedihan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak malang yang hilang selama lebih sebulan dan akhirnya ditemui kaku dalam keadaan menyayat hati.

Sememangnya, bukan itu bentuk pertemuan yang diharapkan oleh pasangan Jazimin dan Nurazian. Apa yang diharapkan tentunya Nurin atau Kak Ngah kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan sempurna.

Pemergian Nurin yang comel begitu menusuk perasaan dan akan dikenang untuk tempoh yang lama. Nurin pergi ke pasar malam setiap Isnin di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, suatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan baginya pada setiap minggu. Pasar malam itu terletak kira-kira 200 meter dari rumah pangsa dua bilik yang mereka sekeluarga diami.

"Kak Ngah seorang anak yang ringan tulang, senang dikejutkan dari tidur, tidak pernah ingkar arahan ibu bapa dan mudah menurut segala perintah berbanding adik-beradiknya yang lain." Begitulah kata-kata bapanya, di awal pertemuan.

KENANGAN dahulu tidak boleh disamakan dengan hari ini.

Sikapnya yang suka membantu membuatkan dirinya selalu mendapat 'tugasan' menukar lampin pakai buang adiknya.

"Di sekolah, dia diberi gelaran Paloma oleh rakan-rakan sekelasnya. Ini kerana dia gemar mengubah gaya rambut setiap kali ke sekolah, mendandan lipan, antara perkara yang selalu dilakukannya sebelum ke sekolah.

"Perkara lain yang selalu dilakukannya ialah 'bermain' dengan rambutnya. Setiap minit dan saat, dia sentiasa bermain-main atau membelai rambutnya yang bergulung di bawah," kata Jazimin.

Hati bapa mana yang tidak terasa pedih mengenangkan pemergian anak dalam sekelip mata, apatah lagi apabila dia ditemui dalam keadaan yang menyayat hati.

Sikapnya yang suka mempelbagai cara pemakaian tudung tanpa ada sesiapa yang mengajarnya menjadikan dia seorang kanak-kanak comel dan cerdik.

"Gemar berposing di hadapan kamera adalah karakter Nurin yang paling dikagumi. Masih terkenang diingatan saya, arwah selalu datang memeluk saya sewaktu sedang tidur. Perbuatan ini membuatkan saya teringat dan sedih apabila mengenangkan semula kenangan itu," luahnya.

Bercerita mengenai penyakit arwah, kata Jazimin, sewaktu usia Nurin mencecah tiga tahun, anaknya disyaki menghidap penyakit buah pinggang dan lelah.

"Pada mulanya, saya dapati seluruh anggota badannya membengkak dan arwah selalu melihat cermin menatap perubahan wajahnya.

"Kami ingat, dia alergi pada makanan dan membawanya ke hospital. Di hospital, doktor memberitahu yang dia menghidap penyakit buah pinggang yang tidak ketara dan akan sembuh apabila meningkat dewasa," tambah Jazimin yang pernah tidur di hospital sebanyak dua kali untuk menemani Nurin yang ditahan di wad.


HANYA gambar yang mampu mengubat rindu si bapa.

Kata Jazimin, kehidupan mereka sekeluarga kini tidak seceria dahulu. Dirinya dan isteri sentiasa mengingati saat bahagia ketika bersama Nurin.

"Kami reda dengan pemergiannya dan sehingga hari ini, kami kerap kali menziarahi pusara arwah setiap dua minggu sekali bersama adik-beradiknya yang lain," kata Jazimin dengan tenang.


P/s: "AL-FATIHAH"...semoga ROH NURIN tenang di barzakh sana...namun kemana pula perginya SHARLINI? Dan Bagaimana pula Pembunuh@DAJJAL LAKNATULLAH NURIN yang masih berlegar di luar sana? Adakah mangsa seterusnya adalah kanak2 lagi! BERAWAS dan BERWASPADALAH..!!!

0 comments:

Catat Ulasan

Ape ke Hal?